CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Mukadimah

Faculty of Business - Universiti Selangor

Sunday, May 22, 2011

Shahir - Kini Setahun

Setahun yang lalu, pada 22 Mei 2010 beliau telah ditabalkan menjadi juara Akademi Fantasia musim ke–8. Kini setelah setahun berlalu, Shahir kini semakin kukuh memahatkan namanya di dalam industri seni tanah air. Tampil dengan single pertama beliau yang berjudul Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan sepenuhnya Edry KRU, Shahir lantas mengorak langkah dan mula membina kelompok peminatnya sendiri. Aura lagu tersebut juga memberikan Shahir peluang untuk memikat kelompok peminat beliau dari kanak-kanak sehinggalah warga emas. Lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan juga menjadi juara di dalam carta-carta radio dan membuka peluang kepada Shahir untuk beraksi buat pertama kalinya di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu 25. Tampil memukau di pentas AJL 25 setelah dibelenggu pelbagai kontroversi, ia merupakan sesuatu yang cukup bermakna dan signifikan buat karier seni Shahir sendiri. Walaupun tidak bernasib baik di pentas AJL 25, tetapi penampilan pertama sebagai finalis adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan. Luar Biasa pula menjadi pertaruhan seterusnya buat Shahir untuk mengukuhkan kedudukan beliau di dalam industri seni tanah air.

Dengan budi pekerti yang cukup disanjungi oleh para peminatnya, lantas Shahir membina populariti dengan cara beliau tersendiri. Cukup disenangi oleh peminat dengan sikap ramah beliau membuatkan para peminatnya setia menyokong perjalanan seni beliau. Kejayaan Shahir merangkul trofi Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABPBH) 2010 membuktikan bahawa Shahir juga telah berjaya membina dan mempunyai kelompok peminat yang sentiasa menyokong karier seni beliau. Sifat merendah diri dan tahu menghargai peminat membuatkan Shahir sentiasa disayangi para peminatnya dan itu dimanifestasikan menerusi undian-undian yang diberikan oleh para peminatnya sewaktu undian ABPBH 2010 sedang berlangsung. Selain itu, kejayaan menduduki tempat ke-2 untuk Bintang Paling Popular boleh dianggap sesuatu yang menakjubkan bagi seorang artis baru seperti Shahir.

Dalam menempah kejayaan di dalam industri yang serba mencabar ini, Shahir juga tidak dapat lari daripada pelbagai dugaan yang melanda dirinya tatkala perjalanan seni baru setahun jagung. Berita kehilangan beliau menjadi perbualan hangat para peminatnya. Ditambah pula dengan kemunculan gosip-gosip yang melibatkan Shahir membuatkan nama Shahir agak kontroversi buat seketika. Namun Shahir tetap tabah dan meneruskan karier seninya menghiburkan para peminatnya yang menyokong beliau. Shahir bertuah kerana walaupun dilanda pelbagai kontroversi, para peminatnya tetap teguh menyokong dan mempertahankan Shahir.

Mengenali beliau secara peribadi merupakan sesuatu yang istimewa. Banyak memori yang tercipta sepanjang mengenali insan yang periang ini. Peluang untuk menghadiri acara-acara melibatkan Shahir sememangnya tidak akan dilepaskan sebagai tanda sokongan buat Shahir. Pertemuan pertama di Teluk Intan sewaktu Shahir menerima anugerah Ikon Belia Negeri Perak Darul Ridzuan masih lagi terpahat dalam ingatan. Sejak daripada pertemuan itu, saya semakin mengenali Shahir dari sisi yang berbeza. Bukan sahaja sebagai seorang artis tapi juga sebagai insan biasa. Banyak perkara yang dikongsi bersama bukan sahaja saya malah bersama-sama teman-teman ShahirZoners seperti Kak Hawa, Najiha, Azam dan Azwan. Kenangan bercuti bersama Shahir di Singapura adalah antara kenangan yang paling manis dalam hidup dan tidak mungkin boleh diperolehi di mana di mana. Lebih istimewa nama ShahirZoners yang mewakili kami berlima adalah dari buah fikiran Shahir sendiri.

Kini 22 Mei 2011 tiba menandakan sudah setahun perjalanan seni Shahir. Semoga Shahir sentiasa tabah menempuhi cabaran-cabaran yang mendatang serta terus cemerlang mencipta kejayaan kerana Shahir sememangnya berbakat besar dan mampu maju lebih jauh lagi. Diharapkan juga album perdana Shahir dapat diedarkan secepat mungkin memandangkan para peminat Shahir sememangnya menantikan album tersebut. Kemunculan Shahir di dalam filem KaraK, filem pertama lakonan Shahir diharapkan dapat menjadi pemangkin atau pendorong kepada Shahir untuk terus memperkembangkan bakat lakonan. Selain itu, diharapkan agar Shahir terus bersinar bak sahmura dan sentiasa menghargai para peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu buat Shahir. Tingkatkan prestasi dan kurangkan kontroversi. Insyaallah Shahir akan terus berjaya dan mampu berdiri setanding dengan artis-artis hebat di dalam industri seni ini. Akhir kata, selamat menyambut ulangtahun pertama di dalam industri seni buat Shahir. Sokongan buatmu akan sentiasa berterusan. Insyaallah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails