Tahun 2011 bakal tiba di
penghujung beberapa hari sahaja lagi. Sesungguhnya tahun 2011 banyak memberikan
suka duka di dalam kehidupan saya. Tahun 2011 juga disifatkan sebagai tahun
yang banyak mengajar saya menjadi seorang yang lebih matang dan lebih berkeyakinan.
Banyak perkara baru yang diperolehi sepanjang melalui tahun 2011 yang penuh
dengan rintangan dan halangan. Beberapa kenangan istimewa yang tercipta
sepanjang tahun 2011 akan dikongsikan disini.
DATO SITI NURHALIZA & SHAHIR
Dua idola ini mempunyai pengaruh
yang kuat pada diri saya untuk tahun 2011. Dato’ Siti Nurhaliza merupakan idola
yang memang dikagumi sejak di awal kemunculan beliau dan beliau juga menjadi
ikon kepada diri saya sendiri. Tahun 2011 memberikan peluang kepada saya untuk
mengikuti pelbagai aktiviti seni dan juga aktiviti yang dianjurkan oleh
syarikat milik beliau iaitu SimplySiti. Peluang jelajah sebegini tidak
dilepaskan di mana inilah peluang untuk bertemu dengan beliau secara dekat.
Selain itu pengalaman terlibat dalam penggambaran iklan SimplySiti merupakan
salah satu kenangan yang manis di dalam hidup saya. Peluang menghadiri
pelancaran album Inggeris beliau yang pertama iaitu All Your Love juga
merupakan antara kenangan manis saya untuk tahun 2011. Persembahan Dato Siti
Nurhaliza di ABPBH 2010 merupakan persembahan terbaik beliau untuk tahun 2011. Selain
itu, terdapat juga beberapa acara hiburan yang melibatkan Dato Siti Nurhaliza
yang saya turut hadiri seperti Anugerah Juara Lagu 26 yang turut menyaksikan
penglibatan pertama Shahir di dalam anugerah tersebut.
Gerak gempur ABPBH yang lalu
membabitkan penglibatan saya secara aktif dalam menyokong kerjaya seni Shahir.
Alhamdulillah berkat kerjasama dari semua pihak terutamanya dari pihak
ShahirZoners. Shahirianz dan Kelab Peminat Shahir Malaysia, Shahir berjaya
memenangi trofi pertama beliau di ABPBH bagi kategori Artis Baru Lelaki
Popular. Selain daripada terlibat dalam
gerak gempur, saya juga berpeluang bercuti bersama Shahir di Singapura. Turut
serta dalam pengalaman manis ini ialah ahli-ahli ShahirZoners dan wakil ahli
Shahirianz. Lawatan ke Universal Studios Singapore yang ditaja oleh Era FM
sememangnya memberikan kenangan terindah buat diri saya kerana berpeluang
bercuti bersama Shahir yang sememangnya sentiasa menceriakan suasana. Pengalaman
yang diperolehi di sana sangat berharga kerana melakukan pelbagai aktiviti
bersama Shahir. Paling diingati ialah sewaktu beramai-ramai meredah hujan di
dalam Universal Studio Singapore untuk mencari tempat berteduh. Memang kelakar
bila diingatkan kembali detik-detik tersebut.
WANITA HARI INI (WHI) & TEMURAMAH BERSAMA MEDIA
Tahun ini juga membuka peluang
kepada saya untuk tampil dalam rancangan bual bicara, Wanita Hari Ini secara
langsung. Saya sendiri seperti tidak percaya apabila menerima panggilan
daripada pihak produksi WHI untuk tampil dalam rancangan tersebut apatah lagi
ianya disiarkan secara langsung. Itulah kali pertama saya terlibat dalam
program yang disiarkan secara langsung dan secara tidak langsung mencabar
kemampuan saya untuk berinteraksi secara spontan. Topik yang diberikan ialah
Adakah Laman Sosial Menyebabkan Anti Sosial??. Alhamdulillah saya dapat
menempuhi cabaran ini dengan berjaya walaupun agak menggeletar pada permulaan
rancangan tersebu t. Insyaallah jika diberi kesempatan lagi di masa hadapan,
saya tidak lagi ragu-ragu dan gementar kerana sudah mempunyai pengalaman.
Selain itu, saya juga berpeluang
di temuramah oleh pihak Astro Awani dan Melodi sewaktu sesi penyerahan borang
undian ABPBH 2010 di Balai Berita. Penyerahan
borang undian tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti yang dijalankan
sebagai sokongan terhadap Shahir yang bertanding buat pertama kali di ABPBH
2010. Sememangnya perasaan gementar itu sentiasa menerjah diri saya namun
semuanya dapat di atasi dengan penuh keyakinan.
FARID & FAISAL
Dua insan ini banyak memberikan
impak dalam hidup saya sepanjang tahun ini. Perkenalan pertama ialah sewaktu
saya mengajar mereka berdua untuk subjek Principles of Management di mana
Faisal berjaya di pilih sebagai Presenter Lelaki Terbaik (setaraf gelaran
AktorTerbaik :p) di dalam presentation bagi subjek tersebut. Saya masih ingat
lagi saya memanggil Faisal sebagai “Star” manakala Farid sebagai “PA Star”. Sememangnya
mereka berdua istimewa berbanding yang lain. Mereka berdua merupakan
kegembiraan saya. Saya menganggap mereka berdua umpama adik saya sendiri. Dua
rakan baik ini sentiasa menceriakan suasana di dalam kelas dengan keletah
mereka yang tersendiri. Banyak kenangan manis bersama mereka berdua yang
tercipta sepanjang mengenali dua insan ini. Walaupun berbeza dari segi
perwatakan, namun mereka berdua mempunyai kekuatan yang tersendiri. Adakalanya
terhibur melihat keletah mereka berdua yang sentiasa mempunyai idea-idea
kreatif. Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2011 dan aktiviti riadah di Sunway
Lagoon merupakan kenangan manis yang berjaya dirakamkan bersama mereka berdua
selain kenangan sewaktu membeli-belah bersama mereka sempena persiapan
menyambut Aidilfitri tahun ini. Sememangnya saya amat bersyukur kerana di
pertemukan dengan mereka berdua yang sentiasa menceriakan hidup saya. Saya
sentiasa doakan mereka berdua agar sentiasa cemerlang dalam pelajaran sehingga
menggenggam segulung diploma. Saya yakin dengan kemampuan mereka berdua. Thanks
a lot Farid dan Faisal for everything...
UNIVERSITI SELANGOR
Tahun ini genaplah 2 tahun saya
berkhidmat di UNISEL sebagai Penolong Pensyarah. Pelbagai pengalaman telah
berjaya dikumpul sama ada dari segi jumlah subjek yang di ajar serta pengalaman
dari segi menguruskan pelajar-pelajar terutama di peringkat diploma. Saya juga
bertuah kerana mendapat pelajar-pelajar yang sangat berdedikasi dengan
tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar di IPT. Tahun ini juga disifatkan
sebagai tahun yang mematangkan diri saya sebagai seorang pendidik. Banyak
rintangan yang ditempuhi sepanjang semester 1/2011/2012 yang di mana merupakan
semester yang paling berat sepanjang 2 tahun saya sebagai seorang pendidik.
Berat dari segi emosi dan fizikal kerana perlu menghadapi pelbagai rintangan
yang melanda. Alhamdulillah, kini saya semakin kuat dan tabah menghadapi segala
rintangan yang mendatang. Tahun 2011 juga melihatkan saya aktif dalam
program-program pemasaran di kem-kem PLKN bagi mempromosikan UNISEL kepada
pelajar-pelajar di PLKN. Satu pengalaman yang menyeronokkan kerana berpeluang
untuk melawat kem-kem PLKN di Johor dan Pahang. Buat pertama kalinya juga, saya
terlibat dalam Perarakan Akademik sempena Konvokesyen UNISEL Kali Ke-6 yang di
adakan di UNISEL Kampus Bestari Jaya.
NUR KASIH THE MOVIE
Filem Nur Kasih The Movie yang
menampilkan lakonan mantap daripada Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz ini
merupakan sambungan daripada drama bersiri Nur Kasih yang mendapat sambutan
hangat semasa ditayangkan di TV3. Filem arahan Khabir Bhatia ini berjaya
memecahkan rekod peribadi saya untuk filem yang paling banyak ditonton di
pawagam iaitu sebanyak 7 kali. Sebelum ini rekod tersebut di pegang oleh filem
High School Musical 3 iaitu sebanyak 5 kali yang dicipta pada tahun 2009.
Keistimewaan filem ini terletak kepada lakonan mantap yang dipamerkan oleh
setiap pelakon yang menjayakan filem ini terutama Remy Ishak dan Tiz Zaqyah
sehingga mendapat pencalonan bagi kategori Aktor Terbaik dan Aktres Terbaik di
Festival Filem Malaysia baru-baru ini. Selain itu, filem ini menyajikan
keindahan sinematografi yang sangat indah. Saya juga turut berpeluang menyertai
salah satu daripada roadtour untuk filem ini yang di adakan di GSC Berjaya
Times Square. Antara yang memeriahkan roadtour tersebut ialah Remy Ishak, Tiz
Zaqyah, Fizz Fairuz dan Sara Ali.